Monday 30 July 2012

BMW 3 siri 2012


Generasi keenam model BMW 3 Siri yang membuat kemunculan global pada tahun lepas kini telah mula dijual di pasaran Malaysia. Dilancarkan baru-baru ini, model sedan premium itu hadir dengan reka bentuk baru sepenuhnya dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu BMW 320d, BMW 328i dan BMW 335i.
Menurut BMW Group Malaysia, generasi sebelumnya yang diperkenalkan sejak tahun 2006 telah berjaya mencatatkan jualan yang memberangsangkan apabila telah terjual sebanyak 10,473 unit di pasaran tempatan. Dengan pengenalan BMW 3 Siri generasi keenam ini, BMW Group Malaysia yakin yang model tersebut akan turut menempa kejayaan sama seperti model generasi terdahulu.
Buat pertama kalinya, BMW 3 Siri baharu ini menampilkan enjin empat silinder BMW TwinPower Turbo bersesaran 2.0 liter yang boleh didapati pada varian BMW 320d dan 328i, di mana kedua-duanya yang terdiri daripada enjin diesel dan petrol telah mendapat manfaat daripada teknologi turbo dengan memberikan tahap penjimatan bahan api dan pelepasan emisi CO2 yang lebih rendah.
Berdasarkan prestasi semasa yang ditawarkan, varian 320d menghasilkan kuasa sebanyak 184hp dan tork maksimum sejumlah 380Nm (0-100 km/j dalam tempoh 7.6 saat), sementara varian 328i hadir dengan kuasa setinggi 245hp dan 350Nm tork maksimum (0-100 km/j dalam tempoh 6.1 saat).
BMW 3 Siri 2012 2 BMW 3 Siri generasi keenam dilancarkan di Malaysia
Bagi varian tertinggi pula iaitu BMW 335i, model tersebut masih mengekalkan enjin petrol enam silinder sebaris bersesaran 3.0 liter yang terbukti berkuasa dengan teknologi BMW TwinPower Turbo. Enjin tersebut menjana tenaga sebanyak 306hp bersama-sama keluaran tork maksimum setinggi 400Nm, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam tempoh hanya 5.5 saat.
Buat pertama kalinya juga, kesemua varian BMW 3 Siri baharu yang diperkenalkan ini telah menerima kelengkapan transmisi automatik 8-kelajuan serba baru, membolehkan pemandu merasai pengalaman pemanduan yang lancar dengan prestasi yang kekal meyakinkan di samping memberikan tahap penjimatan bahan api terbaik.
Berikut ialah senarai harga yang ditawarkan untuk BMW 3 Siri baharu di pasaran Malaysia : BMW 320d – RM 268,800.00, BMW 328i – RM 309,800.00 dan BMW 335i – RM 488,800.00.

No comments:

Post a Comment